Sekolah Seni Malaysia Sarawak Raih Kejayaan Cemerlang di TASEEM 2026
JOHOR: Sekolah Seni Malaysia Sarawak terus mengharumkan nama negeri apabila mencatat pencapaian membanggakan pada Pertandingan Tarian Sekolah-sekolah Malaysia (TASEEM) Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Iskandar Puteri, di sini dari 30 Jun hingga 1 Julai lalu.
Dalam pertandingan tersebut, Sekolah Seni Malaysia Sarawak berjaya muncul Naib Johan bagi Kategori Rampaian, selain turut meraih Anugerah Khas Juri, sekali gus membuktikan keupayaan serta kreativiti persembahan yang dipamerkan.
Sementara itu, bagi Kategori Trio, sekolah berkenaan turut mencipta kejayaan apabila meraih tempat ketiga, di samping menerima Anugerah Khas Juri dan Anugerah Penari Lelaki Terbaik.
Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen tinggi serta dedikasi para penari, guru pembimbing dan jurulatih dalam mengangkat mutu seni tari sehingga mampu bersaing di pentas kebangsaan.
Kejayaan itu turut menjadi kebanggaan buat Sarawak serta membuktikan potensi besar bakat seni yang dimiliki generasi muda negeri ini. -EDISI UKAS