UTS Selangkah Hampir Tubuh Fakulti Perubatan Pertama Milik Kerajaan Sarawak, Laporan Kajian Kebolehlaksanaan Diserah
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) selangkah lebih hampir untuk merealisasikan penubuhan Fakulti Perubatan selepas menerima laporan kajian kebolehlaksanaan setebal 178 halaman yang bakal menjadi asas kepada pertimbangan Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi UTS, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, laporan yang disediakan hasil kajian selama enam bulan itu diketuai oleh Profesor Dr Lela Suut dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan menjadi dokumen penting bagi menentukan hala tuju penubuhan fakulti berkenaan.
“UTS akan menjadi universiti yang diberi tanggungjawab untuk menubuhkan sekolah perubatan ini.
“Jika pada masa hadapan kerajaan bersetuju untuk menubuhkannya, UTS akan menjadi universiti tempatan pertama di Sarawak yang mempunyai fakulti perubatan.
“Langkah pertama ialah UTS diminta menjalankan kajian kebolehlaksanaan. Kini laporan itu telah siap dan diterima secara rasmi bagi pihak UTS daripada kumpulan panel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Laporan Kajian Kebolehlaksanaan Penubuhan Fakulti Perubatan UTS, di sini pada Khamis.
Laporan itu turut menggabungkan pandangan serta kepakaran daripada beberapa universiti terkemuka di peringkat antarabangsa, iaitu Universiti Dundee, University College London (UCL), Universiti Cambridge dan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menurut Datuk Dr Annuar, langkah seterusnya adalah membentangkan hasil penemuan laporan tersebut kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Sarawak untuk pertimbangan dan kelulusan akhir.
“Laporan ini memperincikan bagaimana kita perlu bergerak untuk menubuhkan fakulti perubatan, termasuk langkah-langkah serta peraturan yang perlu dipatuhi.
“Sekiranya kementerian bersetuju untuk meneruskannya, cadangan ini akan dibawa kepada Kerajaan Sarawak untuk pertimbangan dan keputusan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, penubuhan fakulti perubatan itu amat diperlukan bagi membantu mengatasi kekurangan kira-kira 2,000 doktor di Sarawak, selain memenuhi keperluan doktor pakar di negeri ini.
“Kita telah lama menyuarakan isu kekurangan doktor di Sarawak. Tidak syak lagi bahawa kita memerlukan sebuah sekolah perubatan sendiri.
“Walaupun ramai pakar dilatih di Sarawak, negeri ini masih berdepan kekurangan tenaga pakar yang berkhidmat secara tempatan,” jelasnya.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Naib Canselor UTS Profesor Ir Ts Dr Mohd Shahril Osman, Pendaftar UTS Jimmy De Rozario serta ahli-ahli Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan yang lain, termasuk Profesor Dr Alwi Idi, Profesor Dr Muhammad Zulkarnaen Ahmad Narihan, Profesor Dr Kamarudin Kana dan Dr John Tang Ing Ching. -EDISI UKAS