Penyampaian Maklumat Tepat Tingkat Kepercayaan Rakyat Terhadap Kerajaan
ENGKILILI: Kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan agenda pembangunan perlu dibina menerusi penyampaian maklumat yang tepat, telus dan berintegriti oleh pemimpin di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pemimpin masyarakat memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pembangunan difahami dengan jelas oleh komuniti.
Menurut beliau, penyampaian maklumat yang sahih mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan membangunkan negeri, sekali gus menggalakkan sokongan masyarakat terhadap pelaksanaan projek pembangunan.
“Apabila timbulnya kepercayaan hasil daripada usaha tersebut, penduduk secara tidak langsung akan terus memberi keyakinan kepada Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pembangunan di kawasan mereka,” katanya ketika merasmikan Majlis Ngiling Tikai di Rumah Romeneo, Kampung Nanga Skrang Ulu, dekat Engkilili, pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang dalam pada itu menggesa pemimpin akar umbi supaya lebih kerap turun padang bagi memahami perkembangan semasa dan permasalahan yang dihadapi penduduk, sekali gus membolehkan tindakan susulan diambil dengan lebih berkesan.
Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya membimbing golongan belia agar terus menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran bagi melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyokong pembangunan negeri.
Selain itu, beliau menasihati pemimpin akar umbi supaya menguruskan maklumat pembangunan secara sistematik serta sentiasa mengemas kini profil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing bagi memudahkan penyelarasan pelbagai program pembangunan.
Pada majlis tersebut, Datuk Francis turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Skrang Ulu, manakala RM3,000 lagi diperuntukkan kepada biro wanitanya. -EDISI UKAS