Sistem Perparitan Kampung Sedemak Perkukuh Infrastruktur Asas Luar Bandar
LUNDU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar menerusi pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan Jalan Lama Kampung Sedemak yang dijangka meningkatkan kecekapan sistem saliran serta mengurangkan risiko takungan air di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pelaksanaan projek infrastruktur berskala komuniti seperti itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan keperluan asas penduduk luar bandar sentiasa diberi perhatian demi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Menurut beliau, kemudahan sistem saliran yang lebih baik bukan sahaja mampu mengatasi masalah takungan air, malah mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk.
“Walaupun projek ini berskala kecil, impaknya besar kepada kesejahteraan penduduk. Kemudahan asas yang berkualiti merupakan antara keutamaan kerajaan dalam memastikan pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh hingga ke kawasan luar bandar,” katanya ketika majlis penyerahan tapak projek, di sini pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak kontraktor dapat melaksanakan projek berkenaan mengikut spesifikasi, mengekalkan kualiti kerja serta menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk tanpa kelewatan.
Projek bernilai RM129,360 itu diberi tempoh pelaksanaan selama enam bulan bermula 12 Mei 2026.
Skop projek melibatkan pembinaan parit konkrit sepanjang 120 meter dengan kelebaran 900 milimeter bagi meningkatkan kecekapan sistem saliran di Jalan Lama Kampung Sedemak. -EDISI UKAS