SFCF Buktikan Kepelbagaian Budaya Aset Strategik Pembangunan Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Samarahan Food and Cultural Festival (SFCF) 2026 bukan sekadar platform mempromosikan kepelbagaian makanan dan budaya, malah menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan masyarakat, pembangunan ekonomi komuniti serta pengukuhan identiti unik Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, penganjuran festival seumpama itu membuktikan warisan budaya mampu menjadi pemacu pembangunan sosioekonomi yang inklusif, selain memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menurut beliau, kekuatan sebenar Sarawak terletak pada keupayaan rakyatnya hidup dalam kepelbagaian budaya, agama dan etnik yang saling menghormati antara satu sama lain.
“Budaya bukan sekadar warisan yang kita miliki, tetapi amanah yang perlu dipelihara, diperkasakan dan diwariskan kepada generasi akan datang. Perpaduan pula tidak hadir dengan sendiri, sebaliknya dibina melalui rasa hormat, persefahaman dan penerimaan terhadap kepelbagaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Samarahan Food and Cultural Festival (SFCF) 2026 di Tapak Pasar Tamu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Desa Ilmu, pada Khamis.
Tambah beliau, sektor pelancongan berasaskan budaya kini muncul sebagai antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negeri, justeru festival seperti SFCF bukan sahaja menarik kehadiran pengunjung, malah membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan, penggiat industri kreatif dan pemain sektor pelancongan.
Sehubungan itu, beliau menggesa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus meningkatkan kualiti produk, memperkukuh penjenamaan serta memanfaatkan teknologi digital bagi meluaskan pasaran dan meningkatkan daya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan ekonomi perlu dilaksanakan secara mampan dengan mengamalkan pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pengurusan sisa yang sistematik dan pembudayaan amalan kitar semula.
Sementara itu, Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali berkata, festival yang memasuki edisi kelima itu terus menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat dengan pelbagai pengisian melibatkan semua kaum.
Menurut beliau, festival yang berlangsung dari 26 Jun hingga 5 Julai menampilkan pelbagai program termasuk pertandingan Ratu dan Ratu Cilik Kebaya Nyonya, Samarahan Idol, pertandingan Bertandak Melayu, Battle of the Band, Orkestra Cina, Pertandingan Karaoke Cina, Pertandingan Ratu Etnik Dayak Samarahan, Ngiling Tikai, Night Fun Run serta cabutan bertuah.
Katanya, sebanyak 52 gerai makanan dan minuman beroperasi sepanjang festival, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penjaja, usahawan tempatan dan premis perniagaan di sekitar Kota Samarahan.
Selain itu, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat korporat turut menyertai festival menerusi pameran dan penyampaian maklumat berkaitan pembangunan komuniti, pendidikan, kesihatan, kebajikan, keusahawanan dan kesejahteraan sosial.
Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPKS Zuraida Idris, wakil Residen Bahagian Samarahan Nur Ain Adam, wakil Pegawai Daerah Samarahan Faizal Asi, Timbalan Pengerusi MPKS Daily Joseph dan Pengerusi Pengelola SFCF 2026 Profesor Madya Dr Sopian Bujang. -EDISI UKAS