Bengkel Batik Linut Perkasa Industri Kraftangan Dan Keusahawanan Komuniti Di Lawas
LAWAS: Bengkel Kraftangan Batik Linut yang menghimpunkan penyertaan pelbagai etnik di Daerah Lawas dilihat mampu menjadi platform memperkasa industri kraftangan tempatan serta membuka peluang menjana pendapatan melalui penghasilan produk kreatif berasaskan warisan.
Bengkel anjuran Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian Limbang (MPUB) dengan kerjasama Sarawak Craft Council dan Persatuan Lun Bawang Sarawak (2026) itu diadakan sempena Irau Aco Lun Bawang Kali Ke-39 Tahun 2026 pada Khamis.
Program berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Limbang, Jaenly Marten yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian Limbang.
Seramai 34 peserta terdiri daripada wakil Persatuan Lun Bawang, Kedayan, masyarakat Cina serta Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Lawas menyertai bengkel yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik penghasilan Batik Linut menggunakan sagu sebagai elemen utama dalam menghasilkan corak batik yang unik.
Penganjuran bengkel tersebut turut bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta terhadap potensi seni kraftangan sebagai sumber pendapatan utama atau sampingan, selain membimbing mereka mengembangkan kemahiran ke arah menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial.
MPUB berharap usaha itu dapat menggalakkan setiap etnik mengetengahkan identiti budaya dan motif tradisional masing-masing dalam rekaan Batik Linut, sekali gus memperkukuh keunikan produk tempatan.
Inisiatif tersebut juga diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Batik Linut di Lawas, seterusnya menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi komuniti melalui industri kreatif berasaskan warisan. -EDISI UKAS