Pemimpin Perlu Turun Padang, Santuni & Fahami Keperluan Rakyat
LUNDU: Pemimpin di setiap peringkat perlu mengamalkan budaya turun padang bagi memahami denyut nadi rakyat serta memastikan setiap isu yang dihadapi masyarakat dapat ditangani secara berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pendekatan mendekati rakyat membolehkan pemimpin memahami sendiri keperluan komuniti di samping memperkukuh hubungan antara wakil rakyat, agensi kerajaan dan masyarakat.
Menurut beliau, program turun padang bukan sekadar memenuhi jadual rasmi, sebaliknya menjadi platform penting untuk mendengar pandangan, mengenal pasti permasalahan setempat dan mencari penyelesaian secara bersama.
“Jika wakil rakyat boleh turun bertemu masyarakat, maka pemimpin masyarakat dan pegawai kerajaan juga perlu bersama-sama mendekati rakyat. Hanya dengan berada di lapangan kita dapat memahami keperluan sebenar komuniti dan memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Zon 11 Sebako sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 2.0 Majlis Daerah Lundu (MDL) di Dewan Serbaguna Kampung Semapu, pada Khamis.
Billy turut merakamkan penghargaan kepada MDL atas komitmen menganjurkan program yang bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kerajaan dan masyarakat, malah menggalakkan penglibatan komuniti melalui aktiviti kebersihan, kebajikan dan kesukarelawanan.
Beliau berkata, budaya gotong-royong yang dianjurkan menerusi program itu perlu terus diperkasakan kerana mampu memupuk semangat kerjasama, tanggungjawab bersama dan keprihatinan terhadap kebersihan persekitaran.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan kediaman serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk bagi mengurangkan risiko penularan penyakit.
Pada majlis itu, seramai 45 penerima turut menerima bakul makanan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail dan Pengerusi Pengelola Majlis Salim Dadang. -EDISI UKAS