Kejohanan Bola Tampar Terbuka Amatur Lelaki Sri Aman 2026 Cungkil Bakat Baharu
SIMANGGANG: Kejohanan Bola Tampar Terbuka Amatur Lelaki Sri Aman 2026 (Edisi Ketiga) bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan pasukan amatur, malah berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Gelanggang Futsal RPR Taman Sentosa Indah itu menghimpunkan penyertaan pasukan dari beberapa bahagian di Sarawak sebelum melabuhkan tirainya dalam suasana penuh meriah.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Mohamad Israk Ismail yang turut menyampaikan hadiah kepada pasukan-pasukan pemenang serta penerima anugerah individu.
Dalam ucapannya, beliau berkata penganjuran kejohanan seumpama itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan bola tampar, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan amat membanggakan dan diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk mewakili daerah, bahagian dan negeri.
Dalam pertandingan tersebut, X-One VT dari Mukah muncul juara selepas membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala dan pingat.
Eagles VT dari Sri Aman pula muncul naib juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala Gading Volleyball Club dari Lundu menduduki tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM700.
Tempat keempat menjadi milik Z-Siz VT dari Betong yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta piala.
Bagi anugerah individu, Alexander Abat dari X-One VT dinobatkan sebagai Best Setter, manakala Mohd Eizlan Ilham Bobi daripada pasukan sama menerima anugerah Best Spiker. Sementara itu, Afiq Asyraf Hasmino daripada Eagles VT dinobatkan sebagai Best Libero.
Turut hadir Presiden Eagles Volleyball Club Sri Aman, Adam Abu Kawi serta tetamu-tetamu jemputan.-EDISI UKAS