UKAS, MSNS Bincang Persiapan Hadapi SUKMA Selangor
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah mengadakan mesyuarat bersama Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bagi membincangkan persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Mesyuarat diadakan di Ibu Pejabat UKAS di sini pada Khamis dipengerusikan oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Ia memfokuskan kepada persiapan UKAS untuk membuat liputan penuh sepanjang penganjuran SUKMA kali ini yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.
Menurut Awang Putrayusrie, kerjasama erat antara UKAS bersama MSNS sangat penting untuk memastikan kelancaran liputan berita sepanjang SUKMA nanti.
Selain itu katanya, koordinasi bersama agensi media lain dari Sarawak juga diperlukan bagi menyediakan liputan menyeluruh penganjuran temasya dwitahunan itu nanti.
SUKMA Selangor bakal mempertandingkan 37 sukan yang akan diadakan di sembilan bahagian negeri.
Sukan dipertandingkan ialah akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, boling padang, catur, e-sukan, gimnastik, golf, hoki, judo, kabaddi, karate, kriket, lawan pedang, memanah, menembak, muay thai, olahraga, pelayaran, pencak silat, petanque, ping pong, ragbi, sepak takraw, silambam, skuasy, sofbol, taekwondo, tenis, tenpin boling, tinju dan wushu. - EDISI UKAS