Pendidikan dan Perpaduan Jadi Keutamaan Pembangunan Komuniti Opar
LUNDU: Pendidikan, perpaduan komuniti dan pemeliharaan budaya perlu terus diperkukuhkan sebagai asas dalam melahirkan generasi yang berdaya saing, berilmu serta mempunyai jati diri yang tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, usaha memperkasakan pendidikan terutama di kawasan luar bandar perlu menjadi keutamaan bagi memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang terbaik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Gawai di Sekolah Kebangsaan (SK) Jangkar, pada Khamis.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru serta komuniti setempat atas kerjasama menjayakan penganjuran majlis berkenaan.
Menurut beliau, komitmen warga pendidik amat besar dalam membentuk sahsiah dan kecemerlangan murid, selain memastikan anak-anak luar bandar terus menerima pendidikan yang berkualiti.
Billy turut memaklumkan bahawa beliau sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan di kawasan DUN Opar, termasuk aspek kebajikan murid, sokongan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian serta keperluan menaik taraf infrastruktur sekolah.
Beliau berkata, setiap permohonan pembangunan atau penambahbaikan kemudahan perlu melalui prosedur yang ditetapkan, namun usaha akan terus dilaksanakan berdasarkan keutamaan, keperluan dan kemampuan peruntukan yang tersedia.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan pelajar di kawasan Opar supaya meneruskan pengajian, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan pembangunan masa depan negeri.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya dengan menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan yang mampu mengeratkan hubungan antara sekolah, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.
Majlis tersebut turut menjadi platform mengukuhkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam memastikan murid-murid mendapat pendidikan terbaik serta membesar dalam suasana yang harmoni.
Turut hadir Pemanca Allen Manium Enggang dan Guru Besar SK Jangkar, Liden Endil.-EDISI UKAS