Bekalan Air Lebih Berkualiti Untuk Empat Penempatan di Belaga
BELAGA: Penantian penduduk di empat penempatan di kawasan Belaga untuk menikmati bekalan air berkualiti bakal menjadi kenyataan menerusi Projek Sambungan Bekalan Air yang akan dilaksanakan.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Thomas Balan Bang berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif penting Kerajaan Sarawak bagi memastikan lebih ramai penduduk luar bandar menikmati bekalan air bersih yang berkualiti, berterusan dan mampan.
“Projek ini sudah pasti merupakan satu projek yang sangat penting bagi kesejahteraan penduduk sekitar kerana bekalan air merupakan satu keperluan asas yang wajib dinikmati bersama-sama oleh penduduk di Belaga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ringkas mewakili Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang pada majlis pecah tanah di Jambatan Sungai Long Amo, pada Khamis.
Thomas turut berharap pihak pelaksana dan kontraktor dapat menyiapkan projek mengikut jadual serta menyeru penduduk di kawasan terlibat memberikan kerjasama bagi melancarkan pelaksanaan projek.
Projek di bawah Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) itu merupakan sebahagian daripada Pakej Empat URDA yang bertujuan meningkatkan sistem bekalan air di Bahagian Kapit dan Belaga.
Di Belaga, projek tersebut melibatkan sambungan bekalan air dari Pekan Belaga ke Rumah Sekapan Piit, Rumah Sekapan Panjang, Rumah Badeng Long Dungai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Airport.
Turut hadir, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah.-EDISI UKAS