Karnival Komuniti Sejahtera Perkasa Kesedaran Kesihatan Masyarakat Luar Bandar
BELAGA: Karnival Komuniti Sejahtera 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Julai di Uma Sambop, Long Semutut menjadi platform memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan berkata, tema ‘Kesihatan Itu Kekayaan, Tenaga Itu Amanah’ yang diketengahkan amat bertepatan kerana kesihatan merupakan aset paling bernilai dan menjadi asas kepada pembangunan komuniti yang mampan.
"Kesihatan yang baik adalah asas kepada kehidupan yang sejahtera. Marilah kita bersama-sama memelihara kesihatan, menghargai tenaga sebagai amanah dan membina komuniti yang lebih sihat, berdaya tahan serta maju," katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian karnival tersebut pada Khamis.
Senator Michael turut menegaskan usaha membawa perkhidmatan kesihatan lebih dekat kepada masyarakat luar bandar wajar diteruskan bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan kesedaran mengenai amalan gaya hidup sihat.
Sepanjang karnival, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan, ceramah dan forum kesihatan, latihan Bantuan Hayat Asas (BLS), demonstrasi keselamatan kebakaran, pameran agensi, forum bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), senamrobik, sukan rakyat serta gotong-royong komuniti.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Datuk Dr. Melvin Chung Hsien Liang, Timbalan Pengarah Akademik Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuching Norazita Mohamad Talib, Pengurus Stesen Loji Hidroelektrik Bakun Encharang Ngtingih serta wakil Pejabat Daerah Belaga Sarfiza Osman.-EDISI UKAS