Jurugambar Profesional Main Peranan Penting Promosi Pelancongan Sarawak
KUCHING: Jurugambar profesional memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa menerusi penghasilan imej yang mampu membentuk persepsi positif serta menarik minat pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, fotografi merupakan medium yang berkesan untuk memperkenalkan keunikan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan tarikan pelancongan Sarawak kepada dunia.
“Imej yang berkualiti dan berimpak mampu membangkitkan rasa ingin tahu, mewujudkan hubungan emosi serta akhirnya mempengaruhi keputusan seseorang untuk melancong.
“Oleh itu, jurugambar profesional dari seluruh dunia memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi positif terhadap sesuatu destinasi agar terus dikenang oleh para pelawat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Bengkel Fotografi Serantau 2026 sempena Mesyuarat Akhir Persatuan Fotografi Profesional Asia Bersatu Ke-14 dan Mesyuarat Eksekutif Persekutuan Persatuan Fotografi Komersial Malaysia di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat.
Dato Sri Abdul Karim berkata, Sarawak dikurniakan pelbagai aset pelancongan bernilai tinggi termasuk antara hutan hujan tertua di dunia, biodiversiti yang kaya, tapak warisan diiktiraf UNESCO, taman negara, sungai, gua, festival kebudayaan, hasil kraf tradisional serta kepelbagaian etnik yang menjadikan negeri ini unik.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, pembangunan sektor pelancongan Sarawak bukan hanya tertumpu kepada peningkatan jumlah pelawat, sebaliknya memberi penekanan kepada pelancongan yang mampan dan memberi manfaat kepada komuniti setempat selaras dengan Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga 2021-2035.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak turut memperkukuh sektor pelancongan melalui pembangunan infrastruktur, produk pelancongan baharu, peningkatan jaringan penerbangan serta promosi di peringkat antarabangsa menerusi pemasaran digital dan kerjasama dengan pemain industri.
Beliau menggalakkan jurugambar profesional menghasilkan imej yang bukan sahaja memaparkan keindahan sesuatu lokasi, malah mengetengahkan identiti, budaya dan nilai masyarakat Sarawak secara autentik dan beretika.
Katanya, usaha itu mampu memperkenalkan lebih banyak destinasi baharu termasuk kawasan luar bandar, sekali gus memberi limpahan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.-EDISI UKAS