Irau Aco Ke-39 Perkukuh Pemeliharaan Warisan Masyarakat Lun Bawang
LAWAS: Program Irau Aco Lun Bawang Ke-39 terus menjadi wadah penting dalam memelihara warisan, adat dan identiti masyarakat Lun Bawang, di samping memperkukuh hubungan komuniti serumpun merentas Sarawak, Sabah, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, penganjuran berterusan festival tersebut mencerminkan komitmen masyarakat Lun Bawang dalam memastikan khazanah budaya terus dipelihara, diperkasakan dan diwariskan kepada generasi akan datang sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Irau Aco bukan sekadar perayaan tahunan, malah menjadi lambang perpaduan masyarakat Lun Bawang. Melalui program seperti Ayung Awa Tinan dan persembahan kebudayaan, kita dapat memastikan adat, budaya dan identiti masyarakat ini terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Malam Kebudayaan dan Tradisi Lun Bawang serta Pertandingan Akhir Ayung Awa Tinan 2026 sempena Irau Aco Lun Bawang Ke-39 di Taman Awam Lawas, pada Khamis.
Menurut beliau, Irau Aco bukan sekadar sambutan kebudayaan tahunan, sebaliknya menjadi platform yang menghimpunkan masyarakat Lun Bawang dari pelbagai wilayah bagi mengukuhkan hubungan silaturahim serta memperkasakan jati diri komuniti tersebut.
Dato Henry berkata, usaha memelihara warisan budaya memerlukan komitmen berterusan semua pihak, khususnya generasi muda yang bakal menjadi pewaris kepada adat, bahasa dan nilai tradisi masyarakat Lun Bawang.
Katanya, penglibatan komuniti dari Sabah, Brunei Darussalam dan Indonesia turut membuktikan kekuatan hubungan masyarakat serumpun yang terus diperkukuh menerusi platform kebudayaan, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan warisan bersama di rantau Borneo.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk persembahan muzik ukulele oleh Rurum Decur Jalan Sundar, persembahan Alai Rong oleh Rurum Decur Jalan Lawas Damit serta persembahan koir oleh Bahagian Wanita Persatuan Lun Bawang Sarawak.
Pada pertandingan akhir Ayung Awa Tinan 2026, Hundra Seem Mia dari Cawangan Trusan Laut dinobatkan sebagai juara, diikuti Mariam Dawat dari Cawangan Limbang di tempat kedua, manakala Rita Martin dari Trusan Ulu menduduki tempat ketiga.
Turut hadir Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak Jerry Siran Langan, Camat Krayan Timur Marjuni, Camat Krayan Selatan Drs. Oktavianus, Camat Krayan Barat serta Pengerusi Irau Aco Lun Bawang Ke-39 Raca Mulong.— EDISI UKAS