Program Level Up Perkasa Kompetensi 300 Warga Kumpulan Pelaksana JTS
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi penganjuran Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan Siri 1/2026 yang menghimpunkan seramai 300 warga Kumpulan Pelaksana sebagai usaha meningkatkan kompetensi, integriti dan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatan awam.
JTS dalam satu kenyataan media memberitahu, program yang berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Julai di Imperial Hotel Kuching itu memasuki penganjuran tahun kedua, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan JTS dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya tahan dan bersedia menghadapi perubahan landskap perkhidmatan awam.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, program berkenaan bukan sekadar memenuhi keperluan latihan tahunan, malah merupakan pelaburan strategik jabatan terhadap aset paling bernilai, iaitu modal insan.
Menurut beliau, kekuatan sebenar sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada bangunan, teknologi atau sistem, sebaliknya terletak pada komitmen serta keupayaan warga kerjanya.
“Setiap warga jabatan tanpa mengira jawatan memainkan peranan penting dalam memastikan operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar.
“Kumpulan pelaksana bukan sekadar menyokong operasi organisasi, malah menjadi nadi yang menggerakkan keseluruhan ekosistem Jabatan Tanah dan Survei Sarawak,” katanya ketika menyampaikan amanat pada program tersebut.
Beliau turut mengingatkan bahawa peningkatan ekspektasi rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam menuntut setiap warga jabatan sentiasa meningkatkan kompetensi, menguasai teknologi baharu serta mengekalkan nilai integriti dalam melaksanakan amanah.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga JTS menghayati aspirasi 3R Perkhidmatan Awam Sarawak iaitu Revisit, Rethink dan Recharge bagi memperbaharui ilmu, memperkukuh kemahiran serta membudayakan prestasi kerja cemerlang.
Dalam masa sama, beliau menegaskan peranan JTS kini semakin signifikan selaras dengan pembangunan pesat Sarawak, termasuk dalam pengurusan tanah bagi projek strategik negeri, pembangunan ekonomi baharu, pengurusan sumber asli serta pembangunan kawasan daratan dan maritim.
“Kita tidak mahu jabatan menjadi penghalang kepada pembangunan. Sebaliknya, kita mesti menjadi pemudah cara yang mampu menyampaikan perkhidmatan dengan pantas, cekap, berintegriti dan berkesan demi kemajuan Sarawak,” tambah beliau.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai pengisian meliputi pembangunan sahsiah, kompetensi dan kesejahteraan warga kerja.
Antara pengisian utama ialah aktiviti pembinaan pasukan (team building), taklimat berkaitan kemudahan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS), ceramah integriti bertajuk Sekadar Tanda Terima Kasih? Bila Hadiah Menjadi Risiko Integriti serta ceramah kesihatan jantung yang memberi penekanan kepada kepentingan penjagaan kesihatan dalam meningkatkan produktiviti warga kerja.
Majlis turut menyaksikan pelancaran logo baharu Program Level Up serta penyampaian beberapa anugerah penghargaan, termasuk Anugerah Kepimpinan Terbaik kepada Saidie Hj. Ludin dari JTS Samarahan, Anugerah Peserta Paling Supporting kepada Muhammad Ramadani Suhaimi dan Anugerah Kumpulan Terbaik kepada Kumpulan NJC.
Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan merupakan antara inisiatif strategik JTS Sarawak dalam melahirkan warga kerja yang kompeten, berintegriti, berdaya tahan serta sentiasa bersedia meningkatkan prestasi diri bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dan menyokong aspirasi Sarawak Maju Makmur. -EDISI UKAS