MUKAH: Sebanyak 44 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM723,000 bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti komuniti di kawasan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berharap, peruntukan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Saya berharap geran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh semua bagi memperkukuh pembangunan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian geran berkenaan di Pusat Khidmat N57 Tellian, pada Jumaat.
Royston menegaskan, setiap penerima perlu mengemukakan laporan pelaksanaan program bagi memastikan penggunaan peruntukan direkodkan secara teratur dalam sistem.
Ujarnya, laporan yang dikemukakan hendaklah lengkap termasuk tarikh dan nama program untuk tujuan rekod rasmi.
Di samping itu, beliau berkata, pengagihan peruntukan MRP dibuat berdasarkan permohonan serta keperluan semasa di kawasan DUN Tellian.
“Bagi kawasan yang tidak menerima MRP, mereka tetap mendapat manfaat melalui pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Saya berharap semua penerima dapat memanfaatkan peruntukan ini secara berhemah demi manfaat komuniti setempat,” tambahnya.-EDISI UKAS