Program STEM UPMS Perkasa Minat Pelajar Terhadap Bidang Sains Dan Teknologi
BINTULU: Program STEM@JSTEK dan Promosi Program Akademik Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) berjaya memberi pendedahan awal kepada lebih 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu mengenai kepentingan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program yang berlangsung pada 1 Julai itu turut bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM melalui pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif, selain memperkenalkan program akademik yang ditawarkan oleh FKPS UPMS sebagai pilihan pengajian tinggi.
Program berkenaan dipengerusikan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Sains dan Teknologi FKPS, Dr. Nurr Maria Ulfa Seruji serta melibatkan seramai 32 warga UPMS yang terdiri daripada Timbalan Dekan Akademik FKPS, Dr. Juniza Md. Saad, pensyarah kanan, staf pelaksana dan pelajar Bacelor Sains Kimia Perindustrian sebagai fasilitator.
Sepanjang program, para pelajar berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti STEM secara amali yang bukan sahaja meningkatkan kefahaman terhadap konsep sains, malah mengasah kemahiran berfikir secara kritis, kreatif, menyelesaikan masalah dan bekerja dalam satu pasukan.
Selain itu, sesi promosi akademik memberi penerangan kepada pelajar mengenai laluan pengajian ke institusi pengajian tinggi, syarat kemasukan serta prospek kerjaya bagi program-program yang ditawarkan oleh FKPS.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak sekolah dan para pelajar, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara UPMS dengan institusi pendidikan dalam usaha melahirkan generasi muda yang berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta perkembangan teknologi masa depan.- EDISI UKAS