Cabaran Logistik Tidak Luntur Semangat Kontinjen Sarawak Pertahan Kejuaraan SUKMA
KUCHING: Ketiadaan Perkampungan Sukan berpusat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi kontinjen Sarawak, namun ia tidak mematahkan semangat untuk mempertahankan kejuaraan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Chef de Mission Kontinjen Sarawak SUKMA XXII Selangor 2026, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, berbeza dengan penganjuran SUKMA di Sarawak sebelum ini yang menyediakan kemudahan penginapan dan pengangkutan secara berpusat, kontinjen kali ini perlu mengurus sendiri segala keperluan logistik.
Menurut beliau, setiap pasukan perlu mendapatkan penginapan sama ada di hotel atau homestay selain merancang pengangkutan ke venue pertandingan.
“Semua kontinjen perlu mencari penginapan sendiri dan mengurus pengangkutan masing-masing.
“Pengurus pasukan juga perlu mengambil kira faktor kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur dan Selangor terutama pada waktu pagi supaya atlet tiba mengikut jadual pertandingan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Sarawak SHOGUN Workshop 2026 di Sarawak Sports Village, Kuching pada Jumaat.
Beliau berkata, proses pemilihan akhir atlet akan dimuktamadkan sebelum cabutan undi dijalankan pada 9 Julai ini, manakala beberapa acara berkemungkinan digugurkan sekiranya tidak menerima penyertaan yang mencukupi.
Tambah beliau, pengalaman Sarawak sebagai tuan rumah SUKMA sebelum ini sedikit sebanyak membantu kontinjen membuat persediaan awal bagi menghadapi kaedah penganjuran di Selangor.
Dalam pada itu, beliau menyeru anak-anak Sarawak yang menetap, bekerja atau belajar di Kuala Lumpur, Selangor dan seluruh Semenanjung agar hadir memberikan sokongan kepada kontinjen negeri sepanjang temasya berlangsung.
Katanya, sokongan moral daripada rakyat Sarawak di Semenanjung mampu membakar semangat atlet untuk mempertahankan kejuaraan, selain persatuan-persatuan anak Sarawak di Semenanjung turut menyatakan komitmen membantu kontinjen sepanjang temasya.
“Kita mengharapkan mereka datang memberi sokongan kepada atlet Sarawak.
“Di mana sahaja kita berada, kita mahu mengekalkan semangat Sarawak sebagai sebuah pasukan yang bersatu dan sentiasa bersedia menjadi ‘heroes and warriors’,” katanya.
Beliau turut mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak termasuk rakan media dalam menyemarakkan semangat kontinjen Sarawak sepanjang SUKMA XXII Selangor 2026.- EDISI UKAS