Sarawak Yakin Capai Sasaran 70 Pingat Emas Pada SUKMA Selangor
KUCHING: Kontinjen Sarawak optimis mampu mencapai sasaran 70 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 meskipun bakal berdepan saingan sengit serta beberapa cabaran sepanjang temasya berlangsung.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Chef de Mission Kontinjen Sarawak SUKMA XXII Selangor 2026, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, keyakinan tersebut disandarkan kepada tahap persediaan rapi kontinjen serta komitmen tinggi atlet, jurulatih dan persatuan sukan negeri.
Menurut beliau, kira-kira 30 peratus daripada atlet yang akan mewakili Sarawak merupakan atlet berpengalaman yang pernah beraksi di SUKMA, manakala selebihnya terdiri daripada atlet baharu yang menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Daripada segi persiapan dan komitmen mereka, saya cukup yakin kita mampu mencapai sasaran tersebut.
“Walaupun kali ini kita bukan lagi beraksi di gelanggang sendiri seperti edisi lalu, saya percaya persiapan yang sistematik serta dedikasi jurulatih dan persatuan mampu membantu kita menghadapi cabaran itu,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Sarawak SHOGUN Workshop 2026 di Sarawak Sports Village, Kuching pada Jumaat.
Beliau berkata, antara cabaran yang bakal dihadapi ialah lokasi pertandingan yang berselerak di beberapa venue di Selangor berbanding SUKMA 2024 di Sarawak yang lebih tersusun dari aspek logistik.
Bagaimanapun, beliau yakin segala persiapan yang telah dirancang mampu memastikan atlet berada pada tahap terbaik untuk merealisasikan sasaran mempertahankan kejuaraan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Mu’azamir Jili serta dif-dif jemputan lain.- EDISI UKAS