Program Latihan Inap Desa Perkasa Pemimpin Desa Bangunkan Pelancongan Luar Bandar
KOTA SAMARAHAN: Usaha memperkasa sektor pelancongan desa terus dipergiat menerusi penyelarasan pelaksanaan Program Khas Kursus Lanjutan Homestay Bagi Pemimpin Desa Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 yang bertujuan meningkatkan kapasiti pemimpin masyarakat dalam pengurusan homestay secara profesional dan berdaya saing.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pembangunan sektor inap desa berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar menerusi pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan komuniti serta pengukuhan industri pelancongan berasaskan komuniti.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA), Abdul Jalil Ismail serta pegawai-pegawai berkaitan bagi menyelaras pelaksanaan program tersebut, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, penyelarasan awal penting bagi memastikan program mencapai objektif dalam melengkapkan wakil-wakil kampung terpilih dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menguruskan homestay secara lebih sistematik, berkualiti dan mampan.
Menerusi program itu, peserta akan mengikuti lawatan sambil belajar ke lokasi inap desa yang berjaya bagi memperoleh pendedahan secara langsung mengenai amalan terbaik dalam aspek pengurusan, penyampaian perkhidmatan, pemasaran serta pembangunan produk pelancongan berasaskan komuniti.
Selain itu, program berkenaan turut memberi peluang kepada pemimpin desa mengenal pasti potensi dan keunikan kawasan masing-masing untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
Datuk Rubiah berharap kerjasama strategik antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), INFRA serta pemimpin masyarakat akan terus diperkukuhkan bagi melahirkan lebih ramai pengusaha homestay yang berdaya maju, sekali gus menyokong agenda pembangunan pelancongan desa dan memperkasa ekonomi luar bandar, khususnya di Sarawak. -EDISI UKAS