Sesi Libat Urus Khas SKDS Diperlukan, Beri Penjelasan Menyeluruh Mengenai Pelaksanaannya
KUCHING: Satu cadangan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) mengadakan sesi libat urus dan taklimat khas bersama pemain industri pengangkutan di Sarawak bagi memberi penjelasan menyeluruh mengenai pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sesi penerangan secara langsung melibatkan syarikat logistik, pengusaha pengangkutan, komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan lain amat penting bagi memastikan semua pihak memahami dengan jelas mekanisme pelaksanaan sistem yang mula dikuatkuasakan di seluruh negara pada 1 Julai lalu.
Menurut beliau, cadangan tersebut dibuat susulan pelbagai pertanyaan dan maklum balas yang diterima daripada pemain industri serta orang awam yang masih memerlukan penjelasan berhubung syarat kelayakan, proses permohonan, kaedah pembelian diesel bersubsidi dan implikasi dasar itu terhadap operasi harian mereka.
"Komunikasi yang berterusan antara agensi pelaksana dan pemain industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar. Pada masa yang sama, ia dapat mengurangkan kekeliruan serta mengelakkan gangguan yang tidak perlu terhadap operasi perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat mengenai pelaksanaan SKDS daripada pegawai KPDN dan MOF di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, di sini pada Khamis.
Taklimat yang diadakan secara hibrid itu turut disertai pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan BUDI Diesel dari Putrajaya secara dalam talian.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak Leonard Wilfred Yussin, Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin, Ketua Bahagian Pengangkutan Darat dan Logistik Kementerian Pengangkutan Sarawak Chong Chi Fam, serta Ketua Bahagian Pengangkutan Sungai dan Laut Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) Constantine Gerald David Jonas.
Tambah beliau, pelaksanaan SKDS juga perlu mengambil kira keunikan operasi sektor pengangkutan dan logistik di Sarawak yang berdepan cabaran geografi serta rangkaian logistik berbeza berbanding Semenanjung Malaysia.
Beliau menegaskan MOTS akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi Persekutuan berkaitan bagi memudah cara komunikasi serta menyalurkan maklum balas industri demi memastikan pelaksanaan dasar itu mencapai matlamat yang ditetapkan.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pengusaha, syarikat dan orang awam yang masih mempunyai pertanyaan mengenai SKDS supaya mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi yang disediakan kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran maklumat tidak tepat.
Tegasnya, matlamat utama adalah memastikan pelaksanaan SKDS dapat berjalan lancar tanpa menimbulkan beban, keresahan atau gangguan kepada pemain industri dan rakyat, di samping mencapai objektif rasionalisasi subsidi yang telah ditetapkan kerajaan. -EDISI UKAS