Sukan Benteng Gejala Sosial, Bentuk Generasi Berdaya Saing
SIMANGGANG: Penglibatan anak-anak muda dalam aktiviti sukan mampu menjadi benteng daripada gejala sosial, di samping membentuk generasi yang berdisiplin, berdaya saing dan memiliki masa depan lebih cemerlang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, penyertaan dalam sukan memberi ruang kepada golongan belia mengisi masa dengan aktiviti yang sihat menerusi jadual latihan yang teratur, semangat berpasukan dan hubungan positif dengan rakan sebaya.
Menurut beliau, dalam era yang semakin mencabar dengan pelbagai pengaruh daripada persekitaran, rakan sebaya dan teknologi, sukan menyediakan platform yang selamat untuk membentuk sahsiah serta menghindarkan golongan muda daripada terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.
"Pada hari ini, anak-anak muda berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup dalam dunia yang pantas berubah. Atas sebab itu, sukan menjadi ruang yang selamat untuk mereka kerana mampu mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral yang boleh menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Sri Aman Kali Ke-60 Tahun 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut menyeru semua pihak agar terus memperkukuh kerjasama dalam membangunkan potensi belia.
Katanya, agensi kerajaan perlu menyediakan program dan kemudahan yang bersesuaian, sektor swasta boleh menyumbang menerusi tajaan, manakala komuniti berperanan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan anak muda berkembang secara positif.
"Saya yakin sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing, kita mampu melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti yang akan menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan," ujarnya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM290,000 kepada 13 sekolah dan Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS).
Hadir sama, wakil Residen Bahagian Sri Aman Mohammad Fathullah Jamaeini, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abdul Rahman Muhiyuddin, wakil Pegawai Daerah Sri Aman Mohd Hamizan Yahya dan Pengerusi Pengelola Kejohanan Olahraga MSSB Sri Aman Kali Ke-60 Jaya Salleh.
Pada kejohanan tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili muncul juara keseluruhan selepas meraih 34 pingat emas, 34 perak dan 27 gangsa.
Tempat kedua dimenangi SMK Lubok Antu dengan kutipan 29 emas, 32 perak dan 24 gangsa, manakala SMK Sri Aman menduduki tempat ketiga dengan 16 emas, 20 perak dan 24 gangsa.
Bagi kategori Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), SMK Lingga muncul juara dengan kutipan tiga pingat emas, lima perak dan dua gangsa. -EDISI UKAS