Program SKS Sibu Bawa Perkhidmatan Kerajaan Terus Kepada Rakyat
KUCHING: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 Julai ini bakal menjadi platform menyatukan rakyat dengan kerajaan menerusi penyampaian pelbagai perkhidmatan, maklumat dan peluang pembangunan di bawah satu bumbung.
Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said berkata, penganjuran siri kelima program itu mengangkat konsep 'merakyatkan kerajaan', sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan tanpa perlu berurusan di pelbagai lokasi.
Menurut beliau, sepanjang tiga hari penganjuran di Dataran Tun Tuanku Bujang kelak, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat secara terus daripada agensi kerajaan menerusi enam kluster pameran serta Sarawak Pavilion yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan berkaitan inovasi dan digital, pendidikan, keusahawanan, peluang pekerjaan serta inisiatif pembangunan kerajaan.
"Kalau dulu kita ditekankan mengenai konsep merakyatkan perkhidmatan, maka untuk Bahagian Sibu, kita merakyatkan kerajaan di mana kerajaan turun padang dan kaunter bukan lagi halangan untuk hubungan di antara kerajaan dengan masyarakat.
“Melalui konsep merakyatkan kerajaan ini, perkhidmatan tersebut disediakan di bawah satu bumbung dan rakyat datang mendapatkan perkhidmatan" katanya dalam sesi Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), di sini pada Jumaat.
Lebih menarik lagi ujarnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan membuka tirai program SKS kali ini dengan konvoi bermotosikal dari Batang Lupar ke Sibu pada 9 Julai ini.
Secara keseluruhannya, sebanyak 13 program utama dan sampingan telah disusun sepanjang keberadaan Premier Sarawak di Bahagian Sibu, termasuk lawatan ke kawasan tanah gambut yang sedang diusahakan untuk memperoleh pengiktirafan ‘Malaysian Book of Records’ sebagai kawasan tanah gambut paling hampir dengan pusat bandar.
Selain pameran kerajaan, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai tarikan menerusi Sibu Kitchen yang menampilkan 50 gerai jualan terdiri daripada 30 gerai makanan, 10 gerai makanan kering dan cenderamata serta 10 gerai minuman yang mengetengahkan makanan ikonik Bahagian Sibu seperti kampua, kompia, pulut panggang dan umai.
Tambah Superi, program itu juga membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing, di samping mendapatkan maklumat berkaitan pembiayaan, pembangunan perniagaan dan sokongan keusahawanan melalui kluster khas yang disediakan.
Pada sebelah malam pula, pengunjung akan disajikan dengan Malam Budaya yang menampilkan artis tempatan pada 11 Julai, manakala Konsert Rakyat pada malam berikutnya bakal dimeriahkan dengan persembahan artis profesional dari luar negara.
Bagi menambah kemeriahan, orang ramai yang mendaftar melalui kod QR di tapak program berpeluang menyertai cabutan bertuah menawarkan 99 hadiah termasuk 10 motosikal, sebuah skuter elektrik, barangan elektrik, baucar penginapan hotel dan baucar makanan.
Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat Sarawak, khususnya penduduk Bahagian Sibu serta kawasan berhampiran seperti Kapit, Sarikei, Mukah, Bintulu dan Miri supaya hadir memeriahkan program berkenaan yang bukan sahaja menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan antara kerajaan dan rakyat. -EDISI UKAS