ADUN Tellian Suntik Semangat Kontinjen Taekwondo Malaysia Ke China
MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menzahirkan sokongan penuh kepada kontinjen Malaysia yang akan menyertai 2026 ITF International Taekwondo Invitational Tournament di Loudi, China.
Menurutnya, penyertaan dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu merupakan satu penghormatan serta peluang terbaik untuk atlet membuktikan kemampuan masing-masing.
Justeru, beliau berharap mereka mampu mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
"Saya mendoakan agar semua atlet dan pegawai diberikan kelancaran perjalanan serta dipermudahkan segala urusan.
“Berikan yang terbaik dan cipta sejarah untuk diri sendiri, keluarga, negeri dan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Malaysia dan Sarawak serta Uniform Taekwondo (Dobok) kepada Kontinjen Malaysia ke 2026 ITF International Taekwondo Invitational Tournament di Pusat Khidmat N57 Tellian, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Royston turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang banyak berkorban bagi memastikan anak-anak mereka dapat menyertai sukan taekwondo sehingga berjaya mewakili negara.
Ujarnya, pengorbanan tersebut perlu dibalas dengan kesungguhan dan komitmen tinggi oleh setiap atlet sepanjang kejohanan berlangsung.
Untuk makluman, Kelab Taekwondo Tunas Mukah menghantar beberapa pegawai dan atlet dari sekitar Mukah untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan tersebut.
Kejohanan yang berlangsung di Hunan University of Humanities, Science and Technology Gymnasium, Loudi, China dari 8 hingga 17 Ogos depan itu akan menghimpunkan penyertaan daripada 14 buah negara. -EDISI UKAS