Gotong-Royong Perdana Perkukuh Permuafakatan Komuniti, Sokong Agenda Asajaya Bebas Dadah
ASAJAYA: Semangat permuafakatan dan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, kepimpinan masyarakat serta komuniti terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Gotong-Royong Perdana di Pejabat Daerah Asajaya, pada Jumaat.
Program anjuran Pejabat Daerah Asajaya dengan kerjasama Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK), Skuad Antidadah Daerah Asajaya, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Asajaya serta Saberkas Daerah Asajaya itu bertujuan membudayakan semangat gotong-royong, mempererat jaringan kerjasama komuniti serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan gaya hidup sihat dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin bersama Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang turut menyertai program tersebut yang menghimpunkan pemimpin masyarakat, wakil agensi kerajaan, pertubuhan belia dan komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk pembersihan kawasan, penyelenggaraan landskap dan kerja-kerja menceriakan persekitaran Pejabat Daerah Asajaya bagi mewujudkan suasana yang lebih bersih, kondusif dan selesa.
Penglibatan aktif Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat bersama agensi serta pertubuhan yang terlibat mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama antara kepimpinan akar umbi dan komuniti, sekali gus menyokong agenda pembangunan masyarakat yang inklusif dan mampan.
Selain memperindah persekitaran, program tersebut turut menjadi platform menyemai kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat, aktif dan bebas dadah, khususnya dalam kalangan belia. -EDISI UKAS