Fotografi Medium Strategik Bina Naratif Global Sarawak
KUCHING: Industri fotografi menjadi medium strategik dalam membina naratif pembangunan Sarawak dengan mengetengahkan identiti, keharmonian masyarakat serta pencapaian negeri melalui karya visual yang mampu membentuk persepsi masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, dalam era komunikasi digital, fotografi bukan lagi sekadar medium merakam sesuatu peristiwa, sebaliknya menjadi instrumen penting dalam menyampaikan kisah pembangunan negeri serta memperkukuh imej Sarawak di mata dunia.
“Fotografi bukan sekadar menghasilkan gambar yang indah, tetapi perlu menceritakan kisah Sarawak, memperlihatkan nilai masyarakat kita serta membina persepsi positif terhadap negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Gala sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-53 Persekutuan Persatuan Fotografi Komersial Malaysia, Sambutan Ulang Tahun Ke-19 Persatuan Fotografi Komersial Sarawak serta Majlis Pelantikan Jawatankuasa Baharu, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, setiap karya yang dihasilkan mempunyai keupayaan untuk mendokumentasikan sejarah, merakam transformasi pembangunan serta memperkenalkan keunikan masyarakat majmuk Sarawak kepada komuniti antarabangsa.
Datuk Amar Dr Sim menambah, pembangunan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada kejayaan projek fizikal dan ekonomi, malah turut dipengaruhi keupayaan rakyat menceritakan kisah kejayaan tersebut secara kreatif, berintegriti dan berkesan kepada dunia.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan komuniti fotografi agar memanfaatkan perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), sebagai pelengkap kepada kreativiti tanpa mengabaikan etika, ketulenan karya dan tanggungjawab profesional.
Tambah beliau, pengamal fotografi merupakan antara rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh penjenamaan Sarawak melalui penghasilan kandungan visual yang mampu mempromosikan kepelbagaian budaya, keharmonian masyarakat, keindahan alam semula jadi serta kemajuan yang dicapai negeri ini.
Katanya, setiap gambar yang dirakam berpotensi menjadi medium diplomasi visual yang memperkukuh keyakinan pelabur, menarik lebih ramai pelancong serta meningkatkan pengiktirafan terhadap Sarawak di peringkat global.
Beliau berharap komuniti fotografi akan terus menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti tinggi, malah mempunyai nilai dokumentasi dan penceritaan yang mampu menjadi sebahagian daripada naratif pembangunan Sarawak untuk generasi akan datang. -EDISI UKAS