BINTULU: Kejayaan agenda pendidikan memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak dalam usaha membangunkan modal insan berkualiti di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming berkata, tanggungjawab berkenaan tidak boleh digalas oleh sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersepadu daripada guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti, sektor swasta serta agensi kerajaan.
Tambah beliau, kerjasama ini amat penting memandangkan pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang akan membentuk masa depan generasi muda serta menyumbang kepada pembangunan Bintulu dan Sarawak.
“Anak-anak yang dididik hari ini bukan sahaja pewaris keluarga, malah bakal menjadi pemimpin dan pemacu pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus Pengurusan Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu Tahun 2026 di Auditorium Wisma Bintulu, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ts Johnny turut mengingatkan bahawa perkembangan pesat teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menuntut semua pihak membimbing generasi muda supaya mempunyai daya pemikiran kritis, beretika dan mampu memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab.
Di kesempatan itu juga, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada PPD Bintulu bagi menyokong pelaksanaan program pendidikan di daerah berkenaan
Terdahulu, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, sesi tersebut dianjurkan bagi memberi penerangan yang tepat mengenai tiga agenda utama KPM, iaitu peluasan akses pendidikan prasekolah, pemerkasaan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula 2027.
Beliau berkata, program itu turut menjadi medan untuk menjelaskan rasional pelaksanaan dasar berkenaan sekali gus menjawab persoalan dan kebimbangan masyarakat berdasarkan maklumat rasmi KPM.
Tambah beliau, PPD Bintulu bersedia mengadakan lebih banyak sesi penerangan di peringkat komuniti sekiranya menerima jemputan daripada ketua masyarakat dan ketua kaum bagi memastikan maklumat berkaitan dasar pendidikan dapat disampaikan secara menyeluruh. -EDISI UKAS