Forum Hal Ehwal Islam Perkukuh Kefahaman Agama, Bina Ummah Maju & Makmur
ASAJAYA: Penganjuran Forum Hal Ehwal Islam sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) 1448H/2026M Zon Selatan menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap isu-isu semasa Islam, sekali gus membina ummah yang berilmu, bersatu padu dan berakhlak mulia.
Program yang berlangsung di Masjid An-Najah,di sini pada malam Khamis itu membawa tema ‘Ummah Maju Makmur’ dan menghimpunkan masyarakat setempat bagi menghayati peranan Islam dalam membentuk komuniti yang progresif serta sejahtera.
Forum itu menampilkan Ketua Bahagian Pembangunan Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Ustaz Jamaludin Taim dan Ketua Bahagian Dakwah JAIS, Ustaz Hazimin Shakir Said sebagai ahli panel, manakala sesi dikendalikan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam JAIS, Ustaz Mohamad Sidek Arsad.
Perkongsian yang disampaikan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh akidah, meningkatkan penghayatan syariat, memperkasa institusi keluarga serta membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Selaras dengan tema program, para panel turut menegaskan bahawa kemajuan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur menerusi pembangunan fizikal, sebaliknya bergantung kepada kekuatan ilmu, akhlak, perpaduan dan integriti dalam kalangan umat Islam.
Mereka turut menggesa masyarakat menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan ummah, penyebaran ilmu serta pemangkin kepada pembangunan komuniti yang harmoni, progresif dan berdaya saing.
Selain memberi pencerahan mengenai pelbagai isu semasa, forum tersebut turut menjadi wadah memperkukuh kerjasama antara MIS, JAIS dan masyarakat dalam memperkasa syiar Islam serta menyemai kesedaran terhadap tanggungjawab agama dan sosial.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Asajaya Hasanah Bujang, Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang dan Penghulu Asajaya Dallan Man. -EDISI UKAS