Serenna Ellyshes Dinobat Ratu Etnik Dayak Samarahan SFCF 2026
KOTA SAMARAHAN: Pertandingan Ratu Etnik Dayak Samarahan sempena Samarahan Food and Cultural Festival (SFCF) 2026 melabuhkan tirainya dengan kejayaan Serenna Ellyshes Keli yang dinobatkan sebagai johan keseluruhan.
Persembahan beliau yang berjaya memikat hati barisan juri menerusi penampilan yang menyerlah, menampilkan keanggunan, keyakinan diri serta penghayatan mendalam terhadap warisan budaya masyarakat Dayak sekaligus melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta sijil penyertaan.
Sementara itu, tempat kedua menjadi milik Claudia Mai Ttindit yang turut menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil penyertaan, manakala Phynterliana Agatha Lambeh Herryson menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil penyertaan.
Pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Dayak Sarawak (SDCA) itu menghimpunkan tujuh finalis, sekali gus menjadi platform mengetengahkan keunikan busana tradisional, seni budaya dan warisan masyarakat Dayak kepada masyarakat pelbagai kaum serta pengunjung yang hadir.
Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim.
Turut hadir, Pengerusi MPKS Abang Ismawi Abang Ali, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Setiausaha MPKS Zuraida Idris, Timbalan Pengerusi MPKS Daily Joseph, Pengerusi Pengelola SFCF 2026 Profesor Madya Dr Sopian Bujang dan Presiden SDCA Bridgette Astra Donald. -EDISI UKAS