Premier Sarawak Lawat Miri Smart City Command Centre
MIRI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengadakan lawatan ke Miri Smart City Command Centre (MSCCC) pada Sabtu bagi meninjau kesiapsiagaan pusat kawalan bandar pintar itu sebelum majlis perasmiannya.
Dalam lawatan tersebut, Premier Sarawak diberikan taklimat mengenai pembangunan dan operasi MSCCC oleh Ketua Pegawai Digital Majlis Bandaraya Miri,-Siti Suhana Rosli diikuti taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Busiai Seman.
Beliau turut melawat Pusat Operasi MSCCC serta menyaksikan pembentangan sistem Bus Signal Priority (BSP) yang disampaikan oleh Pengarah KTT Sdn Bhd, Keith Chan.
Beliau kemudiannya menyaksikan demonstrasi, tayangan video serta pameran yang memaparkan pelaksanaan pelbagai inisiatif bandar pintar menerusi MSCCC bagi menyokong pengurusan bandar yang lebih cekap, bersepadu dan berteraskan teknologi digital sebelum meneruskan perjalanan ke Imperial Hotel Miri bagi merasmikan pusat berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri, Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang, Residen Bahagian Miri, Galong Luang serta Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada Premier Sarawak dan delegasi meninjau sendiri perkembangan pelaksanaan Miri Smart City Command Centre yang menjadi antara inisiatif strategik dalam memperkukuh agenda bandar pintar di Bandaraya Miri, selaras dengan aspirasi transformasi digital Sarawak.-EDISI UKAS