Kerajaan Sarawak Optimis Perluas Pelaksanaan Bandar Pintar, Perkukuh Penyeragaman Sistem Aplikasi
MIRI: Kerajaan Sarawak optimis pelaksanaan bandar pintar di seluruh negeri akan terus diperkukuh menerusi penyeragaman sistem aplikasi dan perisian bagi memudahkan penyelenggaraan, naik taraf serta pemantauan berpusat di peringkat negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan semua sistem bandar pintar dapat diurus secara lebih cekap, selamat dan bersepadu.
Menurut beliau, Sarawak kini telah mempunyai pusat kawalan bandar pintar di Kuching dan Miri, namun usaha seterusnya adalah menyeragamkan aplikasi yang digunakan di semua lokasi supaya penyelenggaraan perisian dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan efisien.
"Sebenarnya kita sudah ada, di Kuching pun sudah ada serupa tetapi apa yang kita perlu di bawah SAINS ialah aplikasinya, adalah dah uniform supaya software nya senang kita maintain.
"Dan juga keselamatannya kalau kita nak ‘upgrade software’nya, kita dapat ‘upgrade’ semua tempat dengan monitoring daripada State Command Center, State Operation and Intelligence Centre (SOIC)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Miri Smart City Command Centre (MSCCC) di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, pembangunan bandar pintar turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sejajar dengan peralihan Sarawak ke arah ekonomi berasaskan teknologi.
Jelas beliau, kemudahan baharu Western Digital yang dirasmikan baru-baru ini telah mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak-anak Sarawak, manakala fasiliti ketiga syarikat itu dijangka memerlukan antara 500 hingga 1,000 jurutera serta juruteknik berkemahiran tinggi.
Menurut beliau, perkembangan teknologi ketika ini menyaksikan peluang pekerjaan semakin tertumpu kepada bidang kepakaran khusus, termasuk pengeluaran cakera storan berasaskan kaca oleh Western Digital serta pembangunan industri polisilikon di Bintulu.-EDISI UKAS