Smart City Jadi Pemangkin Sarawak Lahirkan Hampir 49,000 Pekerjaan Digital Menjelang 2030
MIRI: Pembangunan bandar pintar dijangka menjadi pemangkin kepada usaha Sarawak mewujudkan sehingga 48,750 peluang pekerjaan digital berkemahiran tinggi menjelang 2030 selaras dengan agenda transformasi ekonomi digital negeri dan pembangunan modal insan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaksanaan inisiatif bandar pintar perlu disokong oleh pembangunan modal insan serta tadbir urus digital yang cekap bagi memastikan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut beliau, pendidikan tinggi percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak kepada anak-anak negeri merupakan pelaburan strategik untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menguasai teknologi serta memenuhi keperluan ekonomi digital pada masa hadapan.
"Menjelang 2030, kita menganggarkan dapat mewujudkan antara 39,000 hingga 48,750 pekerjaan digital berkemahiran tinggi.
"Sebab itu kita menghantar pelajar ke universiti secara percuma supaya mereka mampu menguasai teknologi dan mengendalikan sistem masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Miri Smart City Command Centre (MSCCC) di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu jelasnya, bandar pintar ialah bandar yang memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan keselamatan komuniti, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, meningkatkan daya saing perniagaan serta memudahkan kehidupan seharian rakyat.
Beliau berkata, Miri berpotensi menjadi model bandar pintar rendah karbon yang bukan sahaja mengutamakan penggunaan teknologi, malah mengekalkan persekitaran yang bersih, indah dan mampan sebagai destinasi pelancongan.
Katanya, sistem pengangkutan awam juga perlu beralih kepada penggunaan tenaga bersih seperti hidrogen atau elektrik sejajar dengan aspirasi membangunkan bandar yang lestari dan rendah karbon.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa infrastruktur digital merupakan asas kepada pembangunan bandar pintar, namun kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan rakyat menguasai dan memanfaatkan teknologi tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa sejak dasar ekonomi digital diperkenalkan, kira-kira 540,000 peserta telah mengikuti program peningkatan kemahiran dan latihan semula dalam bidang digital, sekali gus memperkukuh penyertaan rakyat dalam transformasi digital Sarawak.
Menyentuh mengenai Miri Smart City Command Centre, beliau mencadangkan supaya pusat kawalan itu membangunkan satu aplikasi yang mampu menyediakan rumusan aktiviti setiap tujuh hari berdasarkan data yang dikumpulkan sepanjang operasi 24 jam.
Menurut beliau, pendekatan tersebut dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti trend, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran bandar.
Beliau turut menegaskan bahawa konsep bandar pintar rendah karbon akan diperluaskan ke seluruh Sarawak menerusi pendekatan pembangunan yang disesuaikan dengan keunikan serta keperluan setiap kawasan.
Hadir sama, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) George Chan Hong Nam, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri, Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang serta Residen Bahagian Miri, Galong Luang.-EDISI UKAS