Pelaburan Swasta Pacu Selangau Sebagai Pusat Pertumbuhan Ekonomi Baharu
SELANGAU: Penyertaan aktif sektor swasta dalam pembangunan Pekan Selangau dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu di kawasan tengah Sarawak, sekali gus melengkapkan usaha pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata, perkembangan itu jelas menerusi pembukaan hotel dan pasar raya yang bukan sahaja meningkatkan kemudahan kepada penduduk, malah mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Menurut beliau, Pasaraya Le Papa turut merancang membangunkan sebuah medan selera, pasar basah dan dewan serbaguna yang bakal menjadi pusat aktiviti seni serta kebudayaan di Pekan Selangau.
“Jika semua perancangan ini dapat direalisasikan, saya yakin ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu di Selangau,” katanya ketika Program Semarak Kemerdekaan 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sibu di Pejabat Daerah Selangau pada Sabtu.
Beliau menambah, pembangunan berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah membuka lebih banyak peluang kepada peniaga tempatan, usahawan kecil, golongan belia serta penggiat seni dan budaya untuk terus berkembang.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kawasan Tamin terus menerima perhatian menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sejak beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat pada 2016, melibatkan bekalan air, jalan raya, pendidikan, kemudahan sukan dan infrastruktur lain.
Katanya, antara projek yang dinantikan ialah kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Selangau dan Loji Air Stapang bagi membantu menyelesaikan isu bekalan air di kawasan berkenaan.
“Saya akan terus bekerjasama dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Sarawak Water dan agensi berkaitan bagi memastikan penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Saya yakin dengan sokongan berterusan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, pembangunan Selangau sebagai bandar kecil yang moden, progresif dan berdaya saing dapat dipercepatkan,” ujarnya.-EDISI UKAS