Lebih 100 Pemain Muda Sertai Kejohanan Pickleball B-18 Pertama Malaysia
SIBU: Lebih 100 pemain muda bersiap sedia bagi merebut tempat dalam pasukan bahagian apabila Persatuan Pickleball Sibu membuat persiapan untuk menganjurkan Kejohanan Pickleball Antara Bahagian Bawah 18 Tahun (B-18) Pelajar Sekolah Menengah yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek merangkap Presiden Persatuan Pickleball Sibu, Chieng Jin Ek berkata, kejohanan itu dijadual berlangsung pada 26 Julai ini, melibatkan penyertaan pasukan dari beberapa bahagian di Sarawak.
"Kita telah pun menghantar surat jemputan ke bahagian Kuching, bahagian Betong, bahagian Sri Aman, bahagian Sarikei, bahagian Mukah, bahagian Kapit, bahagian Bintulu, bahagian Miri, dan bahagian Limbang, serta keseluruhan Sibu kita," katanya semasa majlis perasmian Kejohanan Pickleball Antara Sekolah Menengah Bahagian Sibu Ke-2 di Taman SMI, pada Sabtu.
Chieng berkata, kejohanan itu akan berfungsi sebagai platform pemilihan penting bagi membentuk skuad elit Sibu yang mana 10 pemain lelaki dan 10 pemain wanita akan dipilih mewakili bahagian Sibu untuk bertanding dalam kejohanan antara bahagian yang akan datang.
Beliau berkata bahawa kejohanan antara sekolah kali ini menampilkan 16 pasukan daripada 13 buah sekolah, satu lonjakan yang ketara sejak edisi sulung diadakan pada September tahun lepas.
Dalam pada itu, Chieng mengingatkan atlet muda terbabit bahawa mereka merupakan masa depan sukan berkenaan, dengan potensi untuk menjadi pemain negeri atau mungkin bergelar juara dunia pada suatu hari nanti.
"Dengan persahabatan dan semangat kesukanan, terutamanya persahabatan yang anda jalin di sini, mereka boleh menjadi rakan kongsi anda. Anda harus bergaul dengan semua sekolah, bukan hanya dalam kalangan ahli pasukan anda sendiri," katanya lagi. -EDISI UKAS