Sarawak Di Landasan Jadi Negeri Penjagaan Kesihatan Digital Pertama Menjelang 2026
SIBU: Sarawak berada di landasan untuk muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan sistem penjagaan kesihatan digital sepenuhnya menjelang penghujung 2026, sejajar usaha memperluas akses perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat tanpa mengira lokasi.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, sebahagian besar klinik kesihatan kerajaan di Sarawak kini telah beroperasi menggunakan platform digital, selaras komitmen Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memodenkan sistem penjagaan kesihatan negara.
Menurut beliau, usaha tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan ekuiti akses perkhidmatan kesihatan supaya rakyat di kawasan pedalaman menerima standard rawatan yang setanding dengan kawasan bandar.
“Tumpuan utama kami adalah untuk meningkatkan ekuiti dalam akses, memastikan pesakit di Bahagian Kapit menerima standard penjagaan asas yang sama seperti pesakit di Kuala Lumpur.
“Bagi merapatkan jurang geografi ini, inisiatif telekesihatan seperti MediRover dan sistem MediDoc kini memanfaatkan rangkaian 5G serta teknologi satelit bagi membawa perkhidmatan pakar terus kepada komuniti luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Transforming Brain Injury (TBI) 6.0 di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, transformasi sistem kesihatan yang mampan turut memerlukan pelaburan berterusan dalam pembangunan modal insan, termasuk doktor, jururawat, profesional sains kesihatan bersekutu serta bakal pemimpin sektor kesihatan.
“Transformasi yang mampan memerlukan pelaburan berterusan terhadap modal insan penjagaan kesihatan.
“Platform pendidikan seperti TBI 6.0 memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan profesional, kerjasama penyelidikan serta latihan pakar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memuji pencapaian Jabatan Neurosurgi Hospital Sibu di bawah kepimpinan Dr. Nelson Yap yang berjaya menjimatkan lebih RM50 juta sejak 2013 melalui pengurangan keperluan pemindahan perubatan (MEDEVAC) ke Kuching.
Menurut beliau, jabatan berkenaan turut memperluaskan perkhidmatan pakar menerusi klinik lawatan di Mukah, Bintulu, Sarikei dan Kapit, selain mencipta sejarah apabila melaksanakan pembedahan otak epilepsi lanjutan pertama di Timur Malaysia pada Oktober 2025.
“Sibu Neurosurgi telah membuktikan bahawa cabaran geografi bukan penghalang untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia, sekali gus menjadi model pembangunan penjagaan kesihatan pakar luar bandar yang wajar dijadikan contoh di peringkat nasional,” katanya.- EDISI UKAS