RM4 Juta Diperuntukkan, Perkasa Perkhidmatan Autisme Di Sarawak
KUCHING: Sarawak menerima peruntukan RM4 juta bagi melaksanakan projek rintis Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) yang akan diwujudkan di Kuching, Sibu dan Miri sebagai pusat sehenti bagi memperluas akses kepada perkhidmatan komuniti autisme.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM12 juta yang disediakan Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2026 bagi peluasan projek rintis PPA ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurut beliau, pusat berkenaan akan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk diagnosis, terapi, latihan, advokasi serta sokongan kepada keluarga yang mempunyai anak autisme.
“Pada peringkat awal, pusat ini akan diwujudkan di Kuching, Sibu dan Miri sebagai pusat sehenti yang menawarkan perkhidmatan diagnosis, terapi, latihan, advokasi dan sokongan kepada keluarga,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme Peringkat Sarawak, di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus memperkukuh usaha meningkatkan akses kepada perkhidmatan autisme menerusi pelbagai inisiatif bagi membantu lebih ramai individu dan keluarga yang memerlukan.
Langkah itu menurutnya mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan komuniti autisme menerima sokongan yang lebih menyeluruh.
“Kesemua inisiatif ini bertujuan memperluaskan akses kepada perkhidmatan diagnosis, terapi, latihan, intervensi awal dan sokongan kepada keluarga,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS