Advokasi, Intervensi Awal Perkukuh Sokongan Kepada Komuniti Autisme
KUCHING: Usaha memperkukuh advokasi, meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperluas akses kepada intervensi awal terus dipergiat bagi memastikan individu autisme mendapat sokongan menyeluruh dan peluang berkembang dalam persekitaran yang lebih inklusif.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, peningkatan bilangan individu autisme yang berdaftar menunjukkan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan diagnosis dan intervensi awal semakin meningkat, namun cabaran berkaitan penjagaan, pendidikan serta akses kepada terapi masih memerlukan perhatian berterusan.
Menurut beliau, autisme bukan sejenis penyakit, sebaliknya keadaan perkembangan neurologi yang unik dengan setiap individu mempunyai kebolehan, potensi dan keperluan yang berbeza.
"Autisme bukanlah satu penyakit, sebaliknya merupakan satu keadaan perkembangan neurologi yang unik. Setiap individu autisme mempunyai kebolehan, potensi dan keperluan yang berbeza,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme Peringkat Sarawak di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak pada Sabtu.
Dato Sri Nancy menambah, program advokasi tersebut bukan sahaja meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai autisme, malah memperkukuh kemahiran keibubapaan, memperluas jaringan sokongan serta menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan sektor swasta dalam memperkasa komuniti autisme.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha membina masyarakat yang lebih inklusif memerlukan komitmen semua pihak, termasuk memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam meningkatkan kesedaran mengenai autisme.
"Bantu sebarkan kesedaran tentang kepentingan mendaftar OKU dan mendapatkan intervensi awal. Hapuskan stigma,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr. Maziah Che Yusof, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Semawi Mohamad dan Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Sarawak Jimbau Munggat. -EDISI UKAS