Bas Elektrik Dicadang Perkukuh Agenda Bandar Pintar, Rendah Karbon Miri
MIRI: Penggunaan bas elektrik di Miri dicadang menjadi langkah strategik ke arah merealisasikan bandar pintar yang lebih lestari dan mesra alam selaras dengan komitmen Sarawak memperluas penggunaan teknologi rendah karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penggunaan bas elektrik bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan asap, malah mewujudkan persekitaran bandar yang lebih senyap kerana kenderaan tersebut beroperasi tanpa menghasilkan bunyi bising.
Menurut beliau, langkah itu selari dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan ekonomi rendah karbon dan menjadikan Miri sebagai bandar yang bersih serta mesra alam.
“Tadi saya cadang dengan Datuk Bandar dan rakan-rakan di Miri, mungkin kita gunakan bas elektrik di Miri.
“Bas elektrik ini tidak mempunyai asap dan bergerak tanpa bunyi. Maknanya Miri bukan sahaja bersih dari segi udara, malah lebih tenang tanpa pencemaran bunyi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Taste of Borneo Cultural Carnival (TOBC) 4.0 2026 pada Sabtu.
Sementara itu, beliau memaklumkan kapasiti bekalan tenaga di Miri dijangka terus dipertingkatkan menjelang 2029, sekali gus menyediakan bekalan elektrik yang mencukupi bagi menyokong penggunaan pengangkutan hijau termasuk bas elektrik.
Pada masa sama, beliau menegaskan pembangunan bandar pintar melalui pendigitalan yang diperkenalkan di Miri akan terus diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
"Gabungan teknologi digital, tenaga rendah karbon dan sistem pengangkutan hijau akan memperkukuh kedudukan Miri sebagai model bandar masa depan yang mampan di rantau ini," jelasnya lagi.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat I (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak), Datuk Rosey Yunus, Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Chief Coordination Ambassador of TOBC, Dato Hii King Chiong serta Presiding Chairman of TOBC, Harry Lee.-EDISI UKAS