TOBC 4.0 Raih Pengiktirafan Malaysia Book of Records, Angkat Kepelbagaian Etnik Borneo
MIRI: Taste of Borneo Cultural Carnival (TOBC) 4.0 terus mengangkat keunikan warisan pelbagai etnik Borneo apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori Most Ethnic Associations in a Parade, sekali gus membuktikan karnival berkenaan sebagai platform utama meraikan kepelbagaian budaya dan memperkukuh perpaduan serantau.
Pengiktirafan tersebut diumumkan pada majlis perasmian TOBC 4.0 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Boulevard Open Car Park, Miri, pada Sabtu.
Anugerah berkenaan mengiktiraf penyertaan terbesar pelbagai persatuan etnik dalam perarakan kebudayaan yang menjadi identiti dan tarikan utama karnival tersebut.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dari Sabah, Brunei, Indonesia serta Wilayah Yunnan, China yang mencerminkan kekayaan warisan budaya Borneo di samping memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antarabangsa.
Selain itu, majlis berkenaan turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melibatkan persatuan-persatuan etnik serta pemeteraian hubungan bandar persahabatan antara Majlis Bandaraya Miri dan Kerajaan Rakyat Perbandaran Lijiang, China, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan hubungan dua hala.-EDISI UKAS