Kampung Raso 2 Jadi Contoh Pelestarian Budaya, Perkukuh Pembangunan Komuniti
LUNDU: Kreativiti dan semangat perpaduan yang dipamerkan penduduk Kampung Raso 2 dalam menganjurkan Sambutan Penutupan Gawai 2026 wajar dijadikan contoh kepada kampung-kampung lain dalam usaha memelihara warisan budaya sambil memperkukuh pembangunan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, sambutan yang dianjurkan tahun ini menampilkan konsep yang unik dan kreatif dengan penglibatan menyeluruh penduduk kampung, khususnya golongan belia serta biro-biro kampung.
Menurut beliau, keunikan sambutan terserlah menerusi hiasan, susun atur program serta penerapan elemen tradisi yang berjaya mengangkat identiti dan warisan masyarakat Bidayuh.
“Sambutan Gawai bukan sekadar acara penutupan perayaan, tetapi menjadi lambang perpaduan masyarakat, ruang mengeratkan silaturahim serta platform penting untuk mewariskan adat dan budaya kepada generasi muda,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Penutupan Gawai 2026 Kampung Raso 2, di sini, pada Sabtu.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan fizikal dan ekonomi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara adat, seni budaya serta nilai murni masyarakat agar warisan yang dimiliki terus dipelihara.
Billy turut memuji inisiatif penduduk yang mengetengahkan pelbagai elemen tradisi seperti pondok hiasan, peralatan lama, makanan tradisional dan pakaian etnik yang bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya masyarakat Bidayuh, malah mampu menjadi medium memperkenalkan warisan tempatan kepada generasi muda dan pengunjung.
Pada majlis sama, beliau menyampaikan bakul makanan kepada 35 penerima sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Selain itu, beliau turut menyerahkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM6,500 kepada Biro Belia Kampung Raso 2 dan RM4,000 kepada Biro Wanita Kampung Raso 2 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, pembangunan belia serta pemerkasaan wanita.
Menurut beliau, sokongan kepada golongan belia dan wanita amat penting kerana kedua-duanya merupakan pemacu utama pembangunan komuniti serta memainkan peranan besar dalam memperkukuh aktiviti kebudayaan, kemasyarakatan dan pembangunan modal insan.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong program berteraskan komuniti, kebudayaan dan pembangunan insan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar, di samping menyeru masyarakat agar terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan jati diri bagi memastikan komuniti setempat terus maju seiring aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail. -EDISI UKAS