Abang Ahmad, Alaa' Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah
MUKAH: Abang Ahmad Abang Mantali dan Alaa’ Ahmad Sayuti muncul johan kategori qari dan qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah 1448 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Surau Darul Hijrah SPS Kuala Lama, di sini, pada Sabtu.
Kemenangan itu melayakkan kedua-dua mereka mewakili daerah Mukah ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Mukah yang dijadual berlangsung di Matu pada September ini, selain membawa pulang hadiah wang tunai RM700 berserta hadiah iringan.
Naib johan kategori qari dimenangi oleh Shahrizal Musa, manakala kategori qariah disandang Siti Nurfanisa Shamsudin. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai RM500 berserta hadiah iringan.
Tempat ketiga pula menjadi milik Mohamad Sait Bom bagi kategori qari dan Meryam Bol bagi kategori qariah, dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300 berserta hadiah iringan.
Majlis penangguhan telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.
Dalam ucapannya, beliau berharap johan bagi kedua-dua kategori dapat membuat persediaan rapi bagi menghadapi pertandingan di peringkat bahagian.
Menurutnya, Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Mukah pada tahun ini akan diadakan di daerah Matu pada September.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran majlis tersebut.
“Kerjasama erat antara agensi kerajaan, jawatankuasa penganjur dan masyarakat setempat menjadi faktor penting kepada kejayaan program.
“Saya berharap kerjasama antara kita akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan,” katanya.
Seramai sembilan peserta mengambil bahagian dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah tahun ini, melibatkan lima peserta lelaki dan empat peserta perempuan.-EDISI UKAS