Sarawak Terus Pacu Pembangunan Tanpa Abaikan Warisan Budaya
LAWAS: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh agenda pembangunan negeri menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan memastikan kemajuan ekonomi bergerak seiring usaha memelihara warisan budaya, identiti serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan warisan menjadi pendekatan utama kerajaan bagi memastikan kemajuan yang dicapai kekal inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
“Budaya dan adat ialah identiti kita. Sarawak umpama sebuah taman bunga yang berwarna-warni, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati. Inilah kekuatan yang perlu terus kita pertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Irau Aco Lun Bawang Ke-39 di Arena Lawas, pada Sabtu.
Menurut beliau, pembangunan Sarawak kini dipacu melalui sektor ekonomi bernilai tinggi seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, semikonduktor, aeroangkasa, pertanian moden dan pelancongan, di samping mengekalkan komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar serta kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negeri.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh agenda pembangunan sosial menerusi pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) serta pemberian biasiswa penuh kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan.
Mengulas pembangunan wilayah utara Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah berkata PETROS kini diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti sektor minyak dan gas di Limbang dan Lawas, manakala penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, infrastruktur serta memperkukuh kerjasama rentas sempadan dengan Sabah, negara Brunei Darussalam dan Kalimantan.
Menurut beliau, Lawas turut memiliki potensi besar sebagai hab pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya menerusi aset seperti tanah tinggi, pantai, air terjun serta kepelbagaian warisan masyarakat yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Mengulas mengenai penganjuran Irau Aco Lun Bawang, ujarnya, ia bukan sekadar memartabatkan budaya masyarakat Lun Bawang, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan dan memelihara identiti budaya sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan Sarawak.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan Baru Bian, wakil ADUN Bukit Sari Unus Tambi, Residen Bahagian Limbang serta Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak Jerry Siran Langan.-EDISI UKAS