30 Petani Ba’Kelalan, Long Semadoh Terima Bantuan ‘Mini Power Tiller’ Bagi Tingkat Produktiviti Pertanian
LAWAS: Seramai 30 petani di kawasan Ba’Kelalan dan Long Semadoh menerima bantuan mesin pertanian jenis ‘Mini Power Tiller’ sebagai usaha kerajaan meningkatkan produktiviti pertanian serta memperkukuh pengeluaran hasil di kawasan pedalaman.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, bantuan yang disalurkan menerusi Jabatan Pertanian Sarawak itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor pertanian serta membantu meningkatkan pendapatan petani luar bandar.
“Bantuan ini membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memperkasa sektor pertanian serta meningkatkan hasil pengeluaran petani, sekali gus menambah pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penyerahan Bantuan Mesin Pertanian di Pejabat Pertanian Lawas, pada Sabtu.
Program anjuran Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Limbang itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM69,931.16 bagi penyediaan bantuan ‘Mini Power Tiller’ kepada para petani di kedua-dua kawasan berkenaan.
Menurut Dato Henry, kawasan Ba’Kelalan dan Long Semadoh terkenal sebagai pengeluar padi Adan yang mempunyai nilai pasaran lebih tinggi berbanding beras biasa berikutan kualiti serta keistimewaan tersendiri.
Sehubungan itu, beliau berharap para petani terus mengekalkan standard pengeluaran beras Adan bagi memastikan produk tersebut kekal berdaya saing dan mendapat kepercayaan pengguna.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Dr. Jakaria Rambli serta Penolong Pegawai Pertanian Daerah Lawas Doraup Mail.- EDISI UKAS