Rumah Kelab Baharu BGC Dijangka Pacu Pembangunan Sukan Golf
BINTULU: Projek pembinaan rumah kelab baharu Bintulu Golf Club (BGC) yang kini memasuki fasa tender dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan golf di Bahagian Bintulu menerusi penyediaan kemudahan yang lebih moden, sekali gus memperkukuh ekosistem sukan berkenaan serta menarik lebih ramai penyertaan khususnya dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts. Johnny Pang Leong Ming berkata, kemudahan baharu itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada ahli, pemain golf dan pengunjung, malah diyakini mampu memperluas penyertaan masyarakat terhadap sukan golf.
“Apabila siap kelak, rumah kelab baharu ini akan menyediakan kemudahan yang lebih moden dan selesa kepada ahli, pemain golf serta pengunjung.
“Saya percaya ia akan menggalakkan lebih ramai, khususnya generasi muda, menceburi sukan golf sekali gus memperkukuhkan lagi komuniti golf di Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Igat Cup 2026 dan Sambutan Ngiling Bidai yang diadakan di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan seperti Igat Cup bukan sekadar menjadi platform pertandingan, malah berperanan membentuk nilai murni seperti kesabaran, kejujuran, disiplin dan sikap saling menghormati dalam kalangan pemain.
Katanya, sukan golf juga berperanan mengeratkan hubungan silaturahim, membina jaringan persahabatan serta menyatukan masyarakat menerusi semangat kesukanan.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran sambutan Ngiling Bidai yang digabungkan dengan kejohanan tersebut mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak melalui penggabungan elemen sukan dan kebudayaan.
Sehubungan itu, beliau berharap Kelab Golf Igat terus berkembang dan Igat Cup dapat diangkat sebagai antara kejohanan golf tahunan berprestij yang menjadi kebanggaan Bahagian Bintulu.
Turut hadir, Pengerusi Kelab Golf Igat Bintulu Jonathan Kunyit, Presiden Bintulu Golf Club Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta ahli-ahli jawatankuasa penganjur.- EDISI UKAS