Pengangkutan Pacu Pembangunan Negara, Kesejahteraan Rakyat
LIMBANG: Sektor pengangkutan terus menjadi pemacu strategik pembangunan negara dengan membuka akses kepada peluang ekonomi, memperkukuh jaringan perdagangan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui sistem pengangkutan yang cekap, selamat dan inklusif.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pembangunan sektor pengangkutan bukan lagi tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan mobiliti rakyat dan pembangunan negara secara menyeluruh.
“Pengangkutan bukan sekadar soal jalan raya, rel, pelabuhan atau lapangan terbang.
“Sebaliknya, pengangkutan merupakan pemangkin kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Mini Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Hari Kerjaya 2026 di sini, pada Sabtu.
Menjelas lanjut, Datuk Hasbi berkata, sistem pengangkutan yang efisien membolehkan pergerakan manusia dan barangan dilaksanakan dengan lebih lancar, sekali gus merangsang aktiviti perdagangan, memperkukuh sektor pelancongan serta meningkatkan akses masyarakat kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang pekerjaan.
Tambah beliau, justeru segala dasar dan perancangan yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat bagi memastikan sistem pengangkutan negara terus berkembang secara selamat, mampan dan inklusif.
Menurutnya, pembangunan sektor pengangkutan turut memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri yang semakin dipacu teknologi dan inovasi.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain memperluaskan peluang pekerjaan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta rakan industri.
Beliau berkata, penganjuran Karnival Mini MOT dan Hari Kerjaya menjadi platform penting dalam mempertemukan pencari kerja dengan majikan, di samping memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan kementerian.
Pada majlis sama, Datuk Hasbi turut menyaksikan penyampaian geran Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI melibatkan Lembaga Pelabuhan Bintulu, Jabatan Laut Malaysia serta Kementerian Digital dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM1.8 juta.
Peruntukan itu melibatkan geran RM500,000 bagi setiap kampung angkat dan RM100,000 bagi setiap sekolah angkat yang memanfaatkan Rumah Tangai, Kampung Limpaku Pinang, Kampung Belimbing Melugus, Sekolah Kebangsaan (SK) Limbang, SK Melayu Pusat dan SK St. Edmund.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia Dato Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Fabian Bigar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan Malaysia Dato Normah Osman serta Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Wong Hee Sieng.-EDISI UKAS