Bantuan Segera Diselaras Bantu Mangsa Kebakaran Kampung Assyakirin
BINTULU: Bantuan segera terus diselaras bagi membantu keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Orkid, Kampung Assyakirin, termasuk usaha mendapatkan bantuan pembinaan semula kediaman melalui agensi berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Bintulu bagi memudahkan urusan permohonan bantuan supaya keluarga terjejas dapat membina semula rumah mereka secepat mungkin.
“Kita juga akan cuba memudahkan segala urusan dengan berhubung dengan pihak Pejabat Daerah supaya mangsa dapat dibantu untuk membina semula rumah yang terbakar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menziarahi keluarga mangsa di kediaman saudara mereka di Bintulu pada Ahad.
Menurut Iskandar, selain bantuan kewangan daripada Pusat Khidmat ADUN Jepak dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB), keluarga terbabit turut menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.
Beliau berkata, perhatian khusus turut diberikan kepada dua cucu mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU), termasuk seorang yang terlantar, menerusi penyediaan tilam khas serta keperluan asas bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu, Azman Abdul Rahman berkata, bantuan awal berjumlah RM2,000 telah disalurkan kepada keluarga berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Mangsa perlu mendapatkan laporan dan bukti yang lengkap untuk dikemukakan kepada Pejabat Daerah.
“Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kepada mangsa kebakaran sama ada bagi tujuan membaik pulih atau membina semula rumah, tertakluk kepada penilaian pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan keluarga mangsa supaya melengkapkan laporan polis dan dokumen berkaitan bagi melancarkan proses permohonan bantuan kerajaan negeri.
Dalam kejadian kira-kira 6.40 petang pada Sabtu, sebuah rumah dua tingkat di Jalan Orkid, Kampung Assyakirin musnah dijilat api, menyebabkan sebuah keluarga kehilangan tempat tinggal.- EDISI UKAS