Kerjasama Agensi Diperkukuh Jayakan Lawatan Rasmi Premier Sarawak, Pesta Daro 2026
DARO: Kerjasama antara semua agensi pelaksana terus diperkukuh bagi memastikan Lawatan Rasmi Premier Sarawak dan Pesta Daro 2026 berjalan lancar menerusi satu mesyuarat penyelarasan di Pejabat Daerah Daro, baru-baru ini.
Mesyuarat itu menghimpunkan wakil pelbagai agensi kerajaan, jabatan, pihak berkuasa tempatan serta jawatankuasa pelaksana bagi meneliti perkembangan persiapan dan menyelaras setiap aspek penganjuran program agar berjalan dengan lancar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, kerjasama erat serta komitmen tinggi daripada setiap jawatankuasa dan agensi pelaksana amat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memperkukuhkan semangat kerjasama dan saling membantu demi memastikan setiap pengisian sepanjang Pesta Daro 2026 berlangsung dalam suasana yang teratur, selamat dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
Dalam mesyuarat itu, pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk penyelarasan jadual lawatan rasmi, pengurusan acara, aspek keselamatan, kawalan lalu lintas, kebersihan kawasan, penyediaan kemudahan kepada pengunjung serta koordinasi antara semua agensi yang terlibat.
Pesta Daro 2026 dijadualkan berlangsung selama 11 hari bermula 16 hingga 26 Julai ini dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang melibatkan penyertaan agensi kerajaan, usahawan tempatan, penggiat industri pelancongan, komuniti serta masyarakat pelbagai lapisan.
Penganjuran pesta tahunan tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan mempromosikan produk tempatan, malah berperanan memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di samping memperkenalkan potensi Daerah Daro sebagai destinasi pelancongan dan pembangunan yang semakin berkembang.-EDISI UKAS