Belia Digalak Sertai Tilawah Al-Quran, Hayati Nilai Islam
DARO: Golongan belia perlu terus digalakkan menyertai Tilawah Al-Quran sebagai usaha melahirkan generasi yang celik al-Quran, berakhlak mulia serta berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, penganjuran tilawah bukan sekadar menjadi medan pertandingan, malah merupakan platform penting untuk mencungkil bakat, membentuk sahsiah, memupuk jati diri serta menyemai nilai kepimpinan dalam kalangan belia agar mereka menjadi pewaris yang mampu memimpin masyarakat pada masa hadapan.
“Ibu bapa, institusi pendidikan, masjid dan surau serta semua pihak perlu terus memberikan galakan dan sokongan kepada golongan belia untuk menyertai Tilawah Al-Quran serta pelbagai program pengimarahan masjid bagi memastikan syiar Islam terus berkembang dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Daro 1448 Hijrah/2026 Masihi di Dewan Masyarakat Daro baru-baru ini.
Pada majlis sama, Dr. Safiee bersama Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD) menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM30,000 kepada Jawatankuasa Perayaan Daerah Daro, dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM15,000.
Sumbangan tersebut bertujuan membantu penganjuran pelbagai program dan aktiviti keagamaan di daerah ini, termasuk persiapan Daro sebagai tuan rumah Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Mukah pada tahun ini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Daro 1448H/2026M sebagai penghargaan atas kecemerlangan yang ditunjukkan.
Majlis yang menghimpunkan seramai enam qari dan lima qariah itu menyaksikan para peserta memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh tartil dan penghayatan, sekali gus mencerminkan usaha berterusan dalam memartabatkan syiar Islam serta memperkukuh kecintaan masyarakat terhadap kitab suci al-Quran.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Daro Anas Sarip serta wakil Residen Bahagian Mukah Siti Hazerah Bolhi.-EDISI UKAS