Kerjasama Semua Pihak Penting Perkasa Ekosistem Sokongan Komuniti OKU
KUCHING: Kerjasama menyeluruh antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti perlu terus diperkukuh bagi membina ekosistem sokongan yang lebih inklusif kepada orang kurang upaya (OKU), khususnya individu ‘Cerebral Palsy’, agar mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, usaha memperkasa komuniti OKU memerlukan pendekatan bersepadu yang bukan sahaja memberi penekanan kepada bantuan kebajikan, malah melibatkan akses kepada pendidikan, pemulihan, intervensi awal serta peluang penyertaan dalam masyarakat.
“Mereka tidak meminta untuk dilahirkan dalam keadaan sedemikian. Kitalah yang perlu memberi sokongan kepada mereka kerana setiap daripada mereka mempunyai bakat dan potensi yang boleh dikembangkan apabila diberikan peluang serta ruang yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Wishesland Kuching’s Charity Food Fair 2026’ di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), pada Ahad.
Menurut Dato Sri Nancy, setiap kanak-kanak termasuk individu ‘Cerebral Palsy’ mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang, perlindungan dan peluang yang membolehkan mereka mengembangkan potensi diri.
Beliau berkata, kejayaan individu ‘Cerebral Palsy’ bukan hanya bergantung kepada bantuan yang diterima, tetapi turut dipengaruhi sejauh mana masyarakat membuka ruang kepada mereka untuk belajar, berdikari, membina keyakinan diri dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.
Menurutnya, ibu bapa dan penjaga yang membesarkan anak-anak istimewa juga wajar terus diberikan sokongan kerana mereka berdepan cabaran besar dalam memastikan anak-anak mendapat rawatan, terapi dan pendidikan yang terbaik.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy mendedahkan, sehingga 31 Mei 2026, Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya merekodkan 843,759 individu berdaftar sebagai OKU di Malaysia, termasuk 32,270 individu ‘Cerebral Palsy’, sekali gus mencerminkan keperluan memperkukuh sistem sokongan kepada golongan tersebut.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kebajikan, pemulihan dan intervensi awal, di samping memperluaskan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri, NGO, sektor swasta serta komuniti bagi mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan mesra OKU.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Cerebral Palsy Kuching bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti persatuan, sekali gus memberi manfaat kepada individu Cerebral Palsy serta keluarga mereka. -EDISI UKAS