BETONG: Projek pembinaan Rumah Rehat Baharu Betong kini mencapai kemajuan fizikal kira-kira 65 peratus dan dijangka siap mengikut jadual pada Januari 2027 bagi memenuhi keperluan kemudahan penginapan rasmi di Bahagian Betong.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah dana Projek Rakyat yang memperuntukkan nilai siling sebanyak RM12 juta.
Menurut beliau, kontrak pembinaan bernilai RM10 juta itu menunjukkan perkembangan yang memuaskan dengan prestasi kontraktor berada pada landasan yang baik.
"Taklimat yang diberikan hari ini sangat terperinci dan kita turut membincangkan beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan. Saya berharap projek ini dapat disiapkan tahun depan seperti yang dijadualkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Projek Construction of The New Betong Resthouse yang disampaikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Spaoh, pada Ahad.
Beliau menambah, pembinaan rumah rehat baharu itu amat signifikan memandangkan Betong sebagai pusat pentadbiran bahagian masih belum mempunyai rumah rehat kerajaan yang kekal bagi menampung keperluan program rasmi.
Katanya, kekurangan kemudahan penginapan sebelum ini menyebabkan sebahagian tetamu kerajaan terpaksa menginap di Sri Aman ketika menghadiri program rasmi di Betong.
"Sebab itu pembinaan rumah rehat ini amat penting supaya kemudahan yang lebih selesa dapat disediakan kepada tetamu rasmi serta menyokong penganjuran pelbagai program kerajaan di Bahagian Betong," ujarnya.
Projek yang bermula pada 18 Julai 2025 itu dibangunkan bagi menggantikan rumah rehat sedia ada yang telah usang serta tidak lagi sesuai untuk dinaik taraf.
Skop pembangunan merangkumi pembinaan dua unit rumah rehat VVIP, dua unit rumah rehat VIP, lapan bilik standard, sebuah dewan berkapasiti 500 orang, dewan santapan, kafeteria, kemudahan pentadbiran dan operasi, bengkel, kemudahan utiliti, surau, ruang istirahat VIP, bilik perbincangan, lobi, stor serta kemudahan rekreasi termasuk gazebo dan laluan pejalan kaki.
Taklimat tersebut turut melibatkan pihak juruperunding dan kontraktor bagi membincangkan perkembangan semasa pelaksanaan projek.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie serta Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh, Denny Lim.-EDISI UKAS